Sebulan lebih berlalu tapi penyakit tu sikit pun tak berkurang. Malah makin menjadi-jadi dan makin berani merebak menyakitkan seluruh belakang badan aku. Bisanya tak payah nak sembang lah. Belakang badan aku ni macam kena tumbuk, terajang, karate, dan tendangan tanpa bayang, lebih-lebih lagi kat bahagian pinggang tu. Rupa-rupanya lepas aku selidik, aku belek-belek dan aku buat sedikit ujikaji Sains Dan Rumahtangga, baru aku perasan yang kat Area pinggang aku ada satu ketulan yang sangat besar. Pergi klinik, doktor cuma bagi ubat tahan sakit dan demam urat. Doktor cakap mungkin otot koyak atau salah urat. Tapi dia tak boleh nak Scan. Dia cakap kalau nak Scan dan nak tau apa kejadahnya ketulan yang jahat dan kejam tu, kena pergi Hospital. Adeh... Itu yang berat tu. Disebabkan aku ni malu kena ngorat dengan Nurse, aku pendamkan lagi sakit ni.
Hari ni aku pergi kerja dengan keadaan yang sangat-sangat sakit. Hilang mood aku. Sampaikan buat apa-apapun tak ada selera. Hilang naluri lawak dan aura kekacakan aku tiba-tiba. Yang ada cumalah perasaan tegang dan panas membara dalam hati ni. Mungkin sebab penangan sakit yang bukan kepalang ni. Buat apa serba tak kena. Jiwa tak yah cakap lah. Kacau bilau. Kalau bersembang, orang cakap silap sikit boleh kena tangkap dengan aku, lepas tu aku kentut tepat kat muka dia. Sampai satu tahap, aku tak larat nak duduk, terpaksa aku baring kat bilik akauntan.
Tadi, aku dah memang tak tahan. Lagi-lagi naik motor dari Bukit Beruntung-KL, KL-Bukit Beruntung. Rasa nak menangis je atas motor. Tapi kalau orang lain nampak terutamanya gadis-gadis yang memandu kereta, mana aku nak letak maruah aku kan. Aku tahan tangisan dan air mata aku dari meleleh keluar. Sampai je kat Bukit Sentosa, tempat yang pertama aku cari adalah tempat urut tradisional. Terus aku urut satu badan. Masa kat ketulan tu, memang terasa sakitnya. Encik tukang urut cakap ni angin terkumpul dah lama ni. Aku dah agak dah. Hari-hari tunggang motor Bukit Beruntung-KL, KL-Bukit Beruntung memang memungkinkan angin tu terkumpul kat pinggang.
Lepas je urut, aku rasa lega yang tersangat-sangat. Badan yang bisa-bisa pun dah hilang bisanya. Aku tenyeh-tenyeh ketulan tu, dah mengecut. Dah hampir tak ada. Ni satu petanda positif. Bila badan dah tak sakit, barulah wajah aku kembali kacak seperti sediakala. Baru rasa semangat nak buat apa-apa pun. Macam sekarang ni. Dah semangat nak Update Blog. Tapi aku tetap kena Monitor jugak ketulan tu. Takut dia main nyorok-nyorok je. Buat masa sekarang ni, yang nyata memang ketulan tu adalah angin yang terkumpul. Tapi kena juga berwaspada. Takut dia datang balik, dan rupanya ketulan tu adalah seekor hamster. Uish. Menakutkan. Oklah setakat ni laporan audit untuk hari ni. Hahaha. Leganya aku rasa sekarang. Hilang segala aura-aura negatif kat aku ni.
Bila sakit-sakit ni, baru aku sedar yang aku dah makin berumur. Rindu masa masih bergetah dulu, susah nak sakit-sakit.