Selesai membuat pilihan, taukey kedai masuk ke dalam bilik yang agak kecil sedikit. Disebabkan perasaan ingin tahu yang agak menebal, aku dan Abang Mail ikut sekali. Ada juga perasaan risau. Takut juga kalau kelelakian aku dicabul dalam bilik tu. Ish. Tak mungkin itu akan terjadi. Lepas masuk, aku pun tengok taukey tu tengah berdiri depan komputer. Aku tertanya-tanya juga apa yang dia nak buat. Aku nak beli cat, bukan nak download lagu.
"Taukey, saya tak mau Download lagu. Saya punya telefon tak boleh masuk lagu",getus aku.
"Sapa mau Download lagu? I tengah Download cat.",terang taukey tersebut.
Tak lama kemudian, pekerja dia bawa satu tong cat. Aku tengok dia buka. Cat warna putih kat dalam tong tu. Lepas tu aku nampak dia letak tong cat tu kat satu mesin. Aku tengok ada cecair terpancut-pancut daripada mesin tu. Rupa-rupanya dia bancuh cat kat situ. Selama ni aku ingatkan memang cat berwarna dah tersedia untuk dijual. Rupanya ia dibancuh mengikut permintaan pelanggan.
Mesin ni lah yang aku maksudkan. Dia akan membancuh warna mengikut warna apa yang dipilih pelanggan. Rupanya dorang bancuh dulu sebelum jual. Aku ingatkan memang dah tersedia warna-warna cat ni.
Selepas warna cat dicampur, tong cat tu dimasukkan pula ke dalam mesin ni. Mesin ni berfungsi untuk menggaul cat tersebut hingga sebati. Baru lah ia akan jadi warna yang pelanggan inginkan. Aku gelarkan mesin ni "Si penggoncang teragung". Sebab goncangan dia memang kejam.
Selepas siap, kitorang ke kaunter untuk buat bayaran. Aku pula, masih lagi kagum dengan apa yang aku lihat sebentar tadi. Baru aku tau proses buat cat ni. Kagum yang teramat.
"Taukey, saya mau cat warna pelangi boleh bikin ka. U kasi bancuh sikit.",terkeluar soalan yang agak bengong daripada mulut aku.
"U tangkap dulu pelangi baru kita kasi bikin.",jawab taukey tersebut lantas buat aku tergamam.